BINTULU, 25 April : Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata jambatan Jepak bakal memacu pembangunan kawasan Jepak apabila ianya siap dibina kelak.
Menurut Premier Sarawak, menjelang 2025 apabila siapnya jambatan baru tersebut Jepak akan menjadi lebih dekat dengan Bandar Bintulu yang akan membangun seiiring dengan Kidurong dan Samalaju.
“inshaAllah dalam masa 2025, apabila siapnya jambatan, Jepak semakin dekat menjadi satu bandar dengan bandar Bintulu dan akhirnya ia akan terus membangun hingga ke Kidurong dan Samalaju,” katanya.
Beliau menambah, ini adalah hasil dari perpaduan yang kukuh maka kerajaan dapat melaksanakan dasar yang telah dirancang.
“Apabila ada perpaduan yang kukuh maka kita akan dapat melaksanakan dasar termasuk Jepak yang harus dibangunkan. Bermakna, kita aturkan betul-betul (Jepak) supaya kita mempunyai bandar apa yang disebutkan sebagai bandar pintar” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri di Dewan Masyarakat Kampung Warisan Jepak di sini.
Turut hadir dalam majlis tersebut, isteri Premier Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk John Sikie Tayai, Menteri Ultiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Pelabuhan) Sarawak Dato Majang Renggi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Datuk Talip Zulpilip.-Sarawakku
Sumber dari : Sarawakku